Thursday 6 December 2012

Maksud Psikologi



MAKSUD PSIKOLOGI


Psikologi berasal daripada bahasa Greek, psyche yang bermaksud ‘nafas’, ‘kehidupan’ dan ‘jiwa’. Psikologi merupakan istilah akademik dan disiplin gunaan yang melibatkan kajian saintifik tentang proses mental dan tingkah laku. Selain itu, psikologi amat berkaitan dengan kognitif, iaitu yang berhubungan dengan pemprosesan maklumat yang dilihat dari segi fungsi psikologikal seseorang individu. Psikologi menjelaskan bagaimana minda manusia dapat membina konsep, menaakul, membuat persepsi dan mempelajari sesuatu. Justeru, psikologi merupakan konsep yang abstrak kerana ia ada kaitan dengan otak manusia pada aras simbolik. 


Menurut Gleitman (1986), bidang kajian psikologi ditakrifkan sebagai ilmu tentang akal budi, kadangkala pula sebagai ilmu tentang tingkah laku. Bidang kajian ini mencuba menjawab persoalan tentang bagaimana organisma-organisma melakukan sesuatu, dan mengapa hal tersebut dilakukan.


Menurut Simanjuntak (1986) pula, psikologi ialah “satu sains manusia yang mencuba mengkaji proses akal manusia dan segala manifestasinya yang mengatur perilaku manusia itu.


Atan Long (1976), perkataan psikologi barasal daripada gabungan dua perkataan Yunani ‘psyche’ yang bermakna jiwa attau semangat, dan perkataan ‘logy’ yang berasal dari logos yang membawa makna ‘pengkajian mengenai sesuatu’. Kalau diterjemahkan secara terus perkataan ‘psychology’ itu membawa erti pengkajian berkenaan jiwa atau semangat.


Dengan ini, jelaslah bahawa bidang psikologi hanya tertumpu kepada dua aspek kemanusiaan yang terpenting iaitu akal budi dan tingkah laku manusia. Manakala dalam bidang linguistik, psikologi berguna kerana beroperasi bagi menginterpretasi makna, pemahaman ujaran dan mengupayakan makna bagi perkataan yang didengar.