Thursday 6 December 2012

Teori Asas Pemerolehan Bahasa



TEORI ASAS PEMEROLEHAN BAHASA


Terdapat dua aliran utama yang berkaitan dengan pemerolehan bahasa kanak-kanak, iaitu behavioris dan mentalis. Kedua-dua aliran ini saling bertentangan dan mempunyai pegangan tersendiri dalam menghuraikan fenomena yang berhubung dengan pemerolehan bahasa kanak-kanak, terutama yang berkaitan dengan proses mental.


i.        Teori Behavioris

Ahli psikolinguistik yang berpegang pada aliran teori behaviorisme melihat aspek tingkah laku sebagai asas pemerolehan bahasa kanak-kanak. J.B. Watson (1913) dalam mengukuhkan kenyataan mengenai konsep tingkah laku, berpendapat bahawa pemikiran itu adalah tabiat motor dalam larins (Slobin terj. Ton, 1992). Golongan ini menekankan bahawa pemerolehan bahasa itu merupakan hasil daripada pengulangan yang berterusan sehingga kanak-kanak memperoleh sesuatu kata. Sepanjang proses ini kanak-kanak akan diberikan pelbagai bentuk ganjaran, seperti pujian, ciuman, tepukan atau hadiah. Proses ini melibatkan proses mekanis semata-mata tanpa mengambil kira proses mental.


Menurut Zulkifley (1994), golongan ini menganggap perkembangan penggunaan fonologi ialah hasil perkembangan kognitif dan interaksi psikososio antara kanak-kanak dengan persekitaran tempat mereka wujud dan begitu juga dengan pemerolehan sintaksis yang ditafsirkan sebagai hasil interaksi antara kanak-kanak dengan penjaga mereka.


Kajian daripada golongan ini cuba membuktikan bahawa penguasaan bahasa kanak-kanak hasil peniruan dan menolak kepentingan Alat Pemeroleh Bahasa atau Language Acquiring Device (LAD). Rangsangan adalah penting dan menghasilkan tindak balas daripada kanak-kanak tersebut. Menerusi hubungan ini, orang dewasa dikatakan memberi rangsangan untuk peniruan dan akan menghasilkan hubungan rangsangan – gerak balas (S-R). Teori ini dikaitkan apabila membincangkan teori pemerolehan dan dipegang oleh ahli psikologi seperti Pavlov, Thorndike, Watson dan Skinner.


Teori behavioris menganggap perkembangan penguasaan sistem fonologi ialah hasil langsung daripada system kognitif dan perkembangan sistem kognitif dan kemajuan interaksi piko-sosio antara kanak-kanak dengan persekitaran di mana mereka wujud. Ahli-ahli behavioris seperti Bruner (1975) dan Bates (1976) telah menjalankan kajian untuk memperlihatkan kepentingan interaksi-interaksi sosial yang awal antara kanak-kanak dan ibu bapa serta orang-orang dewasa yang lain. Kanak-kanak menguasai konsonan-konsonan yang mudah ditiru terlebih dahulu daripada bunyi-bunyi konsonan yang lebih sukar ditiru. Ahli-ahli behavioris menyimpulkan bahawa penguasaan bunyi-bunyi bahasa dan sistem fonologi yang berkaitan dengannya ialah hasil daripada proses rangsangan dan gerak balas.





ii.      Teori Mentalis

Bagi golongan mentalis pula, penguasaan bunyi-bunyi bahasa tidak dianggap berlaku menerusi proses peniruan semata-mata, tetapi ia dianggap melibatkan organisasi-organisasi minda. Teori ini melihat bahasa mempunyai hubungan yang rapat dengan minda. Seseorang kanak-kanak dikatakan telah dibekalkan dengan alat yang dinamakan Alat Pemeroleh Bahasa atau Language Acquiring Device (LAD) sejak lahir seperti yang disarankan oleh Chomsky (1957, 1968). Menurutnya lagi, “data linguistik utama” iaitu pertuturan tidak boleh menjadi punca kebolehan berbahasa. Pemerolehan bahasa hanya mungkin jika kanak-kanak menerima tugas itu sebagai persediaan kaedah tertentu untuk memproses data jenis itu dan membentuk jenis struktur bahasanya (Slobin, terj. Ton, 1992)


Menurut Zulkifley (1994), semenjak lahir kanak-kanak dikatakan sudah mampu menganalisis , membuat dan merumus sesuatu peraturan bahasa. Tugas kanak-kanak bukanlah mendapatkan rumus bahasa ibundanya namun sekadar menyesuaikan rumus yang terkandung dalam nahu universal dan nahu pertamanya. 


Secara perbandingannya, paradigma atau kerangka ilmu yang dipegang oleh ahli-ahli behavioris dan mentalis adalah berbeza kerana tanggapan mereka yang berlainan terhadap minda dan persoalan tentang apakah bahan yang sepatutnya menjadi tumpuan semasa menjalankan penyelidikan linguistik, khususnya psikolinguistik. Menurut Steinberg (1982), seseorang pengkaji itu dapat dikenal pasti sebagai ahli mentalis atau behavioris dengan cara melihat bagaimana beliau menjawab tiga soalan yang berikut, iaitu:


1. Adakah manusia mempunyai minda?

2.Jika manusia mempunyai minda, adakah mindanya mempengaruhi tingkah laku fizikalnya?

3.Haruskah bahan kajian psikolingi dan linguistik, meliputi bahan yang subjektif dan yang persendirian sifatnya?


Jika seseorang pengkaji itu memberi jawapan yang positif (ya) kepada ketiga-tiga soalan di atas, beliau tergolong ke dalam golongan mentalis. Sebaliknya, jika seseorang pengkaji memberikan jawapan yang negatif (tidak) kepada mana-mana soalan di atas, beliau tergolong ke dalam golongan behavioris.