Thursday, 6 December 2012

Maksud Psikolinguistik



MAKSUD PSIKOLINGUISTIK


Menurut Garnham (1985), psikolinguistik ialah kajian tentang mekanisme mental yang membolehkan manusia menggunakan bahasa. Disiplin ini merupakan disiplin saintifik yang matlamatnya adalah satu teori yang sepadu tentang cara bahasa dihasilkan dan difahami.

      Matthews (1997) berpendapat bahawa bidang psikolinguistik ialah kajian bahasa dari pada sudut psikologi. 

       Aitchison (1998), pula mendefinisikan psikolinguistik sebagai kajian bahasa dan akal budi. Beliau membahagikan bidang kajian psikolinguistik kepada beberapa topik utama iaitu:-

                       i.     Aspek-aspek yang berkaitan dengan   pemerolehan pengetahuan bahasa pertama atau bahasa ibunda.
                      ii.       Aspek-aspek yang berkaitan dengan proses pemahaman input-input bahasa.
                     iii.       Aspek-aspek yang berkaitan dengan ingatan dan penyimpanan maklumat-maklumat bahasa atau pengetahuan bahasa.

      Mangantar Simanjuntak (1980), mentakrifkan psikolinguistik sebagai cabang linguistik yang bergabung dengan ilmu psikologi untuk menganalisis bahasa dan pertuturan, iaitu proses-proses yang berlaku pada waktu seseorang bertutur dan memahami ayat-ayat yang didengarnya.  

       Oleh yang demikian, psikolinguistik adalah disiplin ilmu yang mengkaji apa yang dikaji oleh disiplin linguistik dan psikologi. Psikolinguistik merupakan sebahagian daripada bidang linguistik yang menyelidik aspek-aspek yang berkaitan dengan bahasa, tingkah laku bahasa dan akal budi manusia. Psikolinguistik merupakan disiplin ilmu yang meneliti perkara-perkara yang dikaji dalam ilmu linguistik dan psikologi. Dengan demikian, disiplin ini kadangkala dikenali juga sebagai psikologi bahasa. Disiplin ilmu ini secara saintifik menganalisis perkara-perkara yang berlaku dalam akal budi manusia semasa seseorang itu berbahasa.



Menurut George A. Miller (1965), ilmu psikolinguistik bertujuan untuk menghuraikan proses psikologi yang berlaku ketika orang menggunakan ayat. Beliau pernah menegaskan bahawa kelahiran disiplin ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana ahli psikologi sudah lama mengakui bahawa otak manusia itu menerima simbol-simbol linguistik.


Manakala ahli linguistik pula telah menerima hakikat bahawa sejenis motor psikososial telah dikenal pasti untuk menggerakkan mesin tatabahasa dan leksikon. Maka, tujuan utama psikolinguistik adalah untuk mencari satu teori bahasa yang munasabah dan unggul daripada segi linguistik dan psikologi, yakni teori yang mampu menerangkan hakikat bahasa dan pemerolehannya. Dengan demikian, psikolinguistik merupakan bidang ilmu yang berminat untuk mengetahui hal yang berlaku dalam akal budi manusia semasa seseorang itu berbahasa.


Kajian bidang psikolinguistik memberi tumpuan dalam aspek-aspek yang berkaitan dengan perlakuan manusia yang melibatkan bahasa. Bidang psikolinguistik berusaha untuk mengenal pasti struktur dan proses yang mendasari kebolehan manusia untuk bercakap dan memahami bahasa iaitu meneliti hal yang berlaku di dalam diri individu. Selain itu, psikolinguistik juga mengkaji cara-cara kanak-kanak menguasai bahasa dengan memberi tumpuan psikolinguistik adalah terhadap pemerolehan bahasa serta pembelajaran dan pengajaran bahasa. Persoalan tentang bagaimana kanak-kanak menguasai bahasa memang merupakan satu persoalan yang sentiasa menjadi bahan perbincangan dalam kalangan mereka yang berkecimpung dalam bidang psikolinguistik dan pengajaran bahasa. Justeru, sumbangan psikolinguistik dalam pengajaran bahasa amat bernilai tinggi.