Thursday 6 December 2012

Kesan Pemerolehan Bahasa Pertama Terhadap Pembelajaran Bahasa Kedua Pelajar



KESAN PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA TERHADAP PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA PELAJAR 


Persekitaran bahasa memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran bahasa kedua seseorang pelajar. Contohnya, pelajar India yang masih didominasi bahasa Tamil. Menurut Farid dan Ajid (1981), pada masa pelajaran Bahasa Melayu sedang diajarkan oleh guru, penggunaan bahasa ibunda masih berleluasa. Hal ini demikian kerana persepsi pelajar terhadap linguistik bahasa ibunda masing-masing telah mantap dalam sistem kognitif mereka. Kesannya, apabila para pelajar menggunakan bahasa Melayu akan berlaku kesalahan terhadap kosa kata Bahasa Melayu tersebut (Abdul Hamid, 1989). Oleh yang demikian, terdapat beberapa jenis gangguan bahasa dalam proses pembelajaran bahasa kedua pelajar-pelajar.


A) Gangguan Bahasa Ibunda


Menurut Juriah et al. (1994), kesalahan bahasa berlaku adalah disebabkan factor gangguan daripada bahasa ibunda. Gangguan ini berlaku apabila si penutur tidak menguasai norma-norma sebenar bahasa tersebut. Gangguan ini tidak disedari oleh oleh penutur. Menurut Victoria et al. (2003) gangguan dalam bahasa kanak-kanak sangat nyata apabila mereka menerapkan peraturan bahasa pertama kepada bahasa kedua. Manakala menurut Abdul Hamid Mahmood (1989), Pelajar India sering membina ayat bahasa Melayu berdasarkan sintaksis bahasa tamil
Contohnya :
Saya memberi kucing makan ikan. (BM) – Saya kasi makan itu kucing (BT)


B) Gangguan Dialek

Dialek mempunyai bentuk tertentu, dituturkan dalam kawasan tertentu dan berbeza daripada bahasa baku dari segi sebutan,tatabahasa dan penggunaan kata-kata tertentu. Gangguan dialek berlaku meliputi aspek sitaksis, morfologi dan leksikal. Hal ini demikian kerana kanak-kanak sejak kecil lagi diajar dan diasuh sehingga mahir dalam sesuatu ragam bahasa (dialek), tetapi apabila memasuki alam persekolahan, mereka diperkenalkan pula kepada satu ragam bahasa yang baru mereka dengari dan pelajari. Antara negeri-negeri yang mempunyai dialek ialah negeri Kelantan, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak.
  

C) Gangguan Persekitaran

Gangguan ini berlaku apabila bahasa pertama menerima sesuatu kata atau istilah daripada bahasa kedua tanpa sebarang pertukaran. Contohnya,kesalahan ejaan yang dibuat oleh media cetak dan elektronik mengelirukan pelajar terutamanya mereka yang belum mantap penguasaan bahasa pertama.



D) Gangguan Pertukaran Kod (Code Switching)

Pertukaran kod merupakan peralihan daripada satu bahasa ke satu bahasa yang lain dalam ujaran atau percakapan. Contohnya peralihan daripada satu ragam fungsiolek ke ragam lain atau daripada satu dialek ke satu dialek. Ini menyebabkan guru menghadapi masalah dalam menangani kecekapan dan kebolehan berbahasa dalam kalangan pelajar terutamanya murid-murid yang mempelajari bahasa kedua. Menurut Mohd Hilmi Ismail (1982) pertukaran kod berlaku apabila penutur yang bertutur dalam satu bahasa(biasanya bahasa pertama) menukarkan pertuturannya kepada sesuatu bahasa yang lain.



E) Gangguan Percampuran Kod (Code Mixing)

Percampuran kod ialah keadaan apabila penutur mencampurkan dua atau lebih bahasa atau ragam bahasa dalam satu situasi penggunaan bahasa.
Contoh: Tunggu I, please…